GOPENG – Cuti umum Hari Kebangsaan menyebabkan orang ramai mengambil kesempatan untuk berbelanja barangan keperluan menggunakan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 yang mula disalurkan pada Ahad.
Tinjauan Sinar Harian mendapati pengunjung sebuah pasar raya di sini dilihat beratur panjang di kaunter khas yang disediakan untuk pelanggan yang ingin membuat pembayaran menggunakan MyKad.
Kesesakan itu menyebabkan proses pembayaran mengalami sedikit gangguan hingga ada pelanggan terpaksa meletakkan semula barangan yang diambil atau membayar menggunakan duit poket sendiri.
Bagi penjawat awam, Monaliza Abdul Halim, 47, dia mengambil kesempatan membeli barangan keperluan selepas selesai menyertai perarakan Hari Kebangsaan yang berlangsung di pekarangan Dewan Bandaran di sini.
"Saya singgah sebentar di pasar raya ini untuk membeli barangan seperti beras, sabun dan sebagainya sebelum pulang ke Malim Nawar.
"Namun, disebabkan orang ramai, sistem pembayaran tergendala sedikit tetapi saya bernasib baik apabila tiba giliran, pembayaran berjalan lancar," katanya.
Menurutnya, bantuan yang diterima itu dianggap sebagai hadiah kemerdekaan dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban perbelanjaan barangan keperluan asas.
Sementara itu, Siti Zulaiha Mohd Rejab, 32, berkata, dia terpaksa membatalkan rancangan membeli-belah berikutan keadaan sesak selain sistem pembayaran yang mengalami gangguan.
"Apabila sistem sudah pulih dan orang pun tidak ramai, barulah selesa untuk berbelanja. Hari ini saya hanya bantu ibu bapa mentua membeli barangan.
"Bantuan yang diberikan kerajaan ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan seperti beras, sabun dan minyak masak," katanya.
Bagi pelajar Kolej Matrikulasi Gopeng, C Nawitashini, dia bersama Jacqueline Goh Yu Ying dan Loi Zi Xuan, masing-masing berusia 18 tahun, menggunakan wang tersebut untuk membeli makanan dan alat tulis.
"Kami teruja kerana ini kali pertama dapat bantuan sebegini dan sudah tentu ia amat bermakna kerana dapat membeli kertas A4, alat tulis dan makanan seperti mi segera, biskut, minuman dan sebagainya.
"Kami belanja separuh sahaja, selebihnya disimpan untuk bulan depan. Saya harap bantuan seperti ini dapat diteruskan lagi," katanya.
Bantuan SARA sebanyak RM100 secara sekali beri mula disalurkan kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tunai itu disalurkan terus melalui MyKad untuk membeli barangan keperluan asas berdasarkan 14 kategori produk terpilih dan boleh dibelanjakan di lebih 4,100 premis seluruh negara.