PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan persembahan teres grafik yang disertai lebih 2,000 pelajar sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada Ahad.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Menteri Kewangan itu turut menyifatkan persembahan tersebut sebagai antara pencapaian terbaik sepanjang sejarah penganjuran acara berkenaan.
“Perdana Menteri telah menyantuni pasukan teres grafik yang terdiri daripada lebih 2,000 pelajar daripada pelbagai sekolah, yang telah berlatih lebih dua bulan untuk acara pada hari ini.
“Beliau turut menitipkan pesan kepada para pelajar bahawa ini adalah persembahan terbaik daripada pasukan teres grafik,” katanya ketika sidang akhbar selepas Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada Ahad.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 berlangsung pada Ahad dengan tema 'Malaysia Madani: Rakyat Disantuni' di Dataran Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, bermula jam 7 pagi.
Acara gilang-gemilang itu menyajikan perbarisan dan perarakan membabitkan lebih 14,010 peserta, 81 kontinjen, 21 kumpulan pancaragam, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias serta 116 ekor haiwan.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, beliau turut mengambil maklum beberapa permintaan daripada pihak media termasuk menambah baik dari segi kemudahan kawasan liputan yang disediakan.
"Alhamdulillah semua perancangan telah berjalan seperti yang kita susun.
"Ada beberapa perkara yang dibangkitkan oleh pihak media terutama jurufoto telah minta supaya pihak penganjur teliti pada masa depan.
"Insya-ALLAH kita akan susun kedudukan bagi jurufoto yang lebih strategik di masa depan. Hari ini kita berupaya untuk menyusun beberapa perkara tetapi untuk ke hadapan, kita akan berusaha untuk lebih baik lagi," ujarnya.