Warna-warni perarakan Hari Kebangsaan 2025 semarak jiwa patriotik

Iklan
Kontinjen pembawa Jalur Gemilang gergasi berukuran 80 x 40 kaki terdiri daripada 120 Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional berarak pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Semangat Malaysia Madani terus membara apabila rakyat pelbagai lapisan membanjiri Dataran Putrajaya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini yang diraikan penuh kemeriahan dan warna-warni.

Bertemakan"Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", edisi ke-68 sambutan itu mencerminkan semangat perpaduan nasional yang kukuh, diserikan dengan pelbagai acara istiadat, persembahan serta perarakan yang memperlihatkan kekuatan rakyat dan negara secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

Pembuka tirai acara sambutan dimulai dengan ketibaan dif-dif kehormat seawal jam 6.30 pagi dengan kemuncak keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berkenan memandu sendiri kereta Proton Satria Neo berwarna biru dengan no pendaftaram WWW1 bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, pada 8 pagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta diplomat dan perwakilan asing turut menghadiri sambutan itu.

Iklan

Acara berprestij itu didahului dengan nyanyian lagu kebangsaan"Negaraku", diiringi upacara menaikkan Jalur Gemilang, serentak dengan 14 das tembakan kehormatan melambangkan kesatuan 14 negeri, dilepaskan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja yang diketuai Mejar Hafizan Mat Ghani.

Kontinjen kereta berhias Kepengerusian ASEAN turut menyertai perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya hari ini. Foto Bernama

Iklan

Kontinjen pembawa Jalur Gemilang gergasi berukuran 80 x 40 kaki terdiri daripada 120 Pegawai Kadet Universiti Pertahanan Nasional menyusul menyemarakkan semangat patriotisme, diikuti Pancaragam Victoria Institution dan pasukan pembawa bendera negeri dengan penonton turut berdiri mengibarkan bendera kecil masing-masing mangikut rentak muzik.

Terdengar sorakan keterujaan dari setiap sudut dataran apabila komponen perarakan rakyat mula melintasi pentas utama, didahului oleh kontinjen Kepengerusian ASEAN 2025 diselaraskan Kementerian Luar yang mengetengahkan kereta berhias melambangkan perpaduan serantau beserta armada kenderaan elektrik selaras dengan tema"Keterangkuman dan Kemampanan".

Menyusul ialah kontinjen Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan beca berhias ikon pelancongan negeri serta wilayah, melambangkan komitmen Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memperkasakan budaya, kesenian, warisan dan kelestarian Malaysia secara berterusan.

Sorakan penonton kian bergema apabila kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 muncul dalam perarakan selepas menjelajah 88 hentian di seluruh negara dengan deruman motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan pacuan empat roda.

Perarakan diteruskan dengan kontinjen ekonomi dan swasta yang disambut tepukan gemuruh pengunjung termasuk apabila trak bergerak interaktif memaparkan mesej"Merdeka daripada scam" diselaraskan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Dataran Putrajaya.

Keterujaan pengunjung turut terserlah apabila tidak melepaskan peluang merakam setiap detik perarakan termasuk kontinjen penyiaran dan industri kreatif yang turut disertai kontinjen Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta maskot popular Didi & Friends, Mechamato, Boboiboy, Papazola, Ejen Ali, Omar dan Hana serta artis tanah air.

Tidak ketinggalan, kontinjen sukan yang menampilkan atlet negara termasuk Grandmaster catur pertama Malaysia Yeoh Li Tian, juara Piala Dunia Para Renang Duran Yaspi Imam Basori serta pemenang pingat emas Sukan SEA Pekak 2025 yang menerima sorakan daripada penonton, mencerminkan penghargaan terhadap sumbangan mereka mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Komponen kesejahteraan menyusul melibatkan anggota perkhidmatan awam termasuk petugas Orang Kurang Upaya daripada 30 kementerian dan jabatan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Jabatan Kimia Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama (KKU) oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya hari ini. Foto Bernama

Kehadiran unit anjing K9 dan unit berkuda dalam perkhidmatan awam juga mencuri tumpuan orang ramai yang teruja dan terpukau dengan kecomelan dan gelagat haiwan itu, selain kemunculan istimewa kucing 'oyen' APM.

Sorakan semakin bergemuruh apabila perarakan komponen keselamatan negara bersama aset-aset kenderaan melalui Dataran Putrajaya, terutamanya ketika melihat kelibat para wira negara berbadan kekar dan perkasa serta keanggunan wirawati daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada sambutan itu, ATM juga buat julung-julung kalinya membuat persembahan khas bagpipe yang digabungkan dengan alat muzik high tension drum, tenor drum, bass drum dan drum major sambil menari mengikut rentak lagu-lagu kegemaran Yang di-Pertuan Agong, antaranya Anak Kampung dan Lemak Manis.

Komponen persembahan udara yang sentiasa dinanti-nantikan saban tahun, menerima sorakan gemuruh daripada penonton yang terpesona menyaksikan aksi barisan juruterbang diketuai oleh Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris yang mengemudi pesawat tempur Su-30MKM, mendahului formasi udara yang menampilkan 30 aset udara termasuk F/A-18D Hornet dan Airbus A400M.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 melabuh tirai dengan persembahan"Citra MADANI" yang diserikan dengan tarian tradisional pelbagai kaum di negara ini, melambangkan semangat perpaduan serta keharmonian yang dikecapi Malaysia selama ini.

Sambutan Hari Kebangsaan bukan sahaja terpusat di Putrajaya, malah turut diraikan di seluruh negara dalam pelbagai bentuk acara, menzahirkan semangat patriotik dan perpaduan rakyat Malaysia. - Bernama