SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama MyDigital ID melancarkan Kempen Diskaun Saman Kebangsaan dengan tawaran pengurangan saman trafik PDRM sebanyak 50 peratus bermula 31 Ogos 2025 hingga 16 September 2025.
Tawaran tersebut hanya sah untuk pembayaran melalui aplikasi MyBayar PDRM menggunakan log masuk MyDigital ID.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kerajaan mengambil pendekatan bukan sahaja meraikan pencapaian negara, tetapi juga memberi manfaat terus kepada rakyat.
Menurutnya, tawaran pengurangan saman itu adalah simbol penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia.
“Ia juga bagi menggalakkan penggunaan identiti digital nasional sebagai asas kepada transformasi digital perkhidmatan awam.
“Oleh itu, saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengambil peluang ini serta bersama-sama menyokong usaha kerajaan ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, telus dan moden.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh perkhidmatan digital negara, di samping memberi penghargaan kepada rakyat dengan peluang menyelesaikan saman trafik secara lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Saifuddin, MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan identiti digital yang sah dan dilindungi.
“Selain itu, kaedah ini juga dapat memastikan akses yang lebih terjamin, sekali gus mengurangkan risiko penipuan identiti serta penyalahgunaan maklumat peribadi rakyat.
“Menerusi pelaksanaan ini, kerajaan melalui KDN dan PDRM menzahirkan komitmen untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan di samping mengangkat agenda digitalisasi negara seiring dengan semangat kemerdekaan dan kemajuan Malaysia,” jelasnya.