KAJANG - Jenazah Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih pada jam 6.30 petang Sabtu selepas selesai prosedur bedah siasat kedua.
Pengebumian itu dilakukan selepas bedah siasat yang dijalankan selama tujuh jam di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari yang sama.
Iklan
Iklan
Bedah siasat kedua itu selesai pada jam 4 petang, dan jenazah Allahyarham kemudian diiringi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses pengebumian.
Keluarga dan kenalan Syamsul Haris menunggu di luar tanah perkuburan sehingga pengebumian selesai.
Pada Jumaat, penggalian semula kubur Syamsul Haris dilakukan pada jam 8.15 pagi, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, untuk menggali semula kubur anaknya.
Keputusan itu dibuat selepas hakim, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, membenarkan permohonan Ummu Haiman pada 19 Ogos lalu bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan dan prosiding inkues untuk menyiasat kematian anaknya dimulakan.
Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.