PM minta PNB utamakan kepentingan nasional, bumiputera

Iklan
Anwar Ibrahim

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Permodalan Nasional Berhad (PNB) meletakkan kepentingan nasional dan bumiputera sebagai pertimbangan utama dalam membuat sebarang keputusan.

Anwar berkata, proses semakan strategik oleh PNB terhadap pelaburannya dalam kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) tidak wajar diteruskan jika memberi kesan negatif.

Iklan
Iklan

“Ia termasuk menjejaskan manfaat jangka panjang pemegang unit atau memberi kesan negatif kepada usaha PNB menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

“Saya mengambil maklum mengenai semakan tersebut. Oleh itu, saya menegaskan bahawa selaku institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan nasional dan bumiputera, PNB perlu mengekalkan peranan serta pegangan dalam aset-aset strategik negara,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, PNB mengesahkan rundingan sedang berlangsung dengan beberapa pihak berkaitan aset lebuh rayanya di bawah Prolintas.

Namun begitu, PNB menegaskan proses berkenaan masih di peringkat awal dan belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara tersebut.

Iklan

Dalam satu kenyataan, PNB berkata, ia kini sedang menjalankan kajian strategik terhadap pelaburannya dalam Prolintas sebagai sebahagian daripada penilaian portfolio yang dijalankan secara berkala.