Grace labur duit poket sendiri, hasilkan rekod baharu negara

Iklan
Grace membaharui rekod kebangsaan milik sendiri dalam acara lontor tukul besi dalam Kejohanan Terbuka Malaysia di Kangar pada Khamis. Foto FB Olahraga Malaysia

PENGORBANAN Grace Wong mengeluarkan duit poket sendiri untuk berlatih di China ternyata berbaloi apabila atlet baling tukul besi wanita negara itu melakar rekod kebangsaan baharu.

Kejayaan tersebut diraih pada Terbuka Malaysia menerusi balingan sejauh 63.53 meter (m) di Kangar, Perlis pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Beliau menyifatkan latihan di negara itu sangat membantunya untuk melakukan balingan yang lebih jauh sekali gus memadam rekod kebangsaan miliknya, 62.48m.

“Saya percaya boleh pecahkan rekod ini empat tahun atau dua tahun lalu tetapi selepas rekod terakhir (2021) ketika itu waktu PKP 1 (Perintah Kawalan Pergerakan susulan Covid-19), jurulatih saya balik ke China.

Iklan

“Namun bulan lalu saya pergi ke China dengan dana sendiri untuk berlatih selama sebulan.

“Saya melihat ia sangat membantu. Dua tahun yang lalu, saya sudah minta untuk pergi ke China tetapi mereka (pihak bertanggungjawab) tak beri jawapan. Jadi, saya pergi sendiri,” katanya.

Iklan

Terdahulu, Grace yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meraih emas manakala atlet Algeria, Zahra Tatar memenangi perak (61.37m) dan wakil Korea Selatan, Park Seo Jin pula berpuas hati dengan gangsa (59.13m).

Dalam pada itu, jurulatihnya, Gu Yuan sangat gembira dengan pencapaian Grace dan optimis jika diberikan masa lagi, atlet itu mampu tampil dengan prestasi yang lebih baik.

Malah beliau juga percaya anak buahnya itu berupaya meraih kedudukan pertama di Sukan SEA Thailand Disember depan selepas melihat perkembangan semasa ketika ini.

“Berdasarkan latihan saya yakin Grace mampu menyumbangkan emas pada Sukan SEA nanti,” katanya.