KUALA LUMPUR - Seorang qari cilik berusia 10 tahun menuai perhatian ramai kerana keberaniannya menjadi antara pengemudi Malaysia #QuranHour 2025.
Meskipun digandingkan dengan dua lagi qari yang jauh lebih berusia dan berpengalaman, ia tidak menjadi kerisauan buat pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih, Wan Ahmad Nuaim Wan Najran.
Anak bongsu dari dua adik-beradik itu berkata, dia menunjukkan minat untuk mempelajari al-Quran sejak berusia enam tahun dan mula mendalaminya secara serius tahun lalu.
“Saya mengaji dengan ustaz di Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Semenyih dan datuk saya.
“Ustaz lah yang mendorong saya memberanikan diri baca Surah al-Saff di hadapan khalayak ramai. Dalam keluarga, saya dan abang juga meminati tilawah al-Quran.
“Suatu hari nanti, saya bercita-cita untuk menjadi guru agama demi membantu generasi akan datang pula, insya-ALLAH,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Malaysia #QuranHour 2025, di sini pada Sabtu.
Kelunakan dan gemersik suara Wan Ahmad Nuaim melontarkan Surah al-Saff ayat 1 hingga membuatkan peserta Malaysia #QuranHour 2025 terpegun termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Wan Ahmad Nuaim turut diiringi qari lain seperti Shukri Ali dan Ahmad Tirmizi Ali sambil disokong pentaddabur, Fazrul Ismail, Mohamad Zarifi Mohamad Daud serta Dr Mohd Shafiq Sahimi.
Kehadiran pelakon terkenal, Saharul Ridzwan selaku pembaca ikrar juga menghangatkan suasana program tahun ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.
Turut mengimarahkan program ialah Duta Senegal ke Malaysia, Abdoulaye Barro; Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel; Duta Jordan ke Malaysia, Dr Ismael Maaytah; Duta Mesir ke Malaysia, Karim Mohamed Elsadat Abdelkarim.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marhaini Yusoff juga hadir selaku penganjur Malaysia #QuranHour 2025.
Program kali ini mengetengahkan tiga surah utama sebagai panduan iaitu Surah al-Saff, al-Balad dan Ali’ Imran.
Malaysia #QuranHour 2025 diadakan serentak di seluruh negara dan bersiaran langsung dari lokasi perdana, Masjid Negara bermula jam 12 hingga 1 tengah hari.
Misi #ResetRasa yang dibawa merupakan satu bentuk seruan kepada masyarakat agar kembali menyemak arah perjuangan dan sensitiviti terhadap penderitaan di sekeliling misalnya melalui surah al-Saff ayat 14, memperlihatkan peranan empat golongan utama iaitu pemimpin, pembina dasar, penjawat awam serta rakyat dalam membantu membentuk saf kukuh dengan rasa, sabar dan kasih sayang.
Kempen Malaysia #QuranHour 2025 disokong oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi, diikuti penyertaan sinergi media seperti Sinar Harian, Astro Awani, Astro Oasis, TV Alhijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia FM (IKIM FM) dan TV IKIM, TV9, Bernama, Media Prima Berhad, Nu Ideaktiv, Zayan FM, Denaihati Network serta Santai Travel.