Perluas Malaysia #QuranHour kepada bukan Islam, golongan bermasalah - Mufti

Iklan
Ahmad Fauwaz

KUALA LUMPUR – Malaysia #QuranHour disaran supaya diperluaskan penyertaannya kepada masyarakat bukan Islam termasuk golongan bermasalah seperti banduan dan remaja jalanan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, usaha itu penting agar penghayatan al-Quran dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Iklan
Iklan

"Saya harap penganjuran ini dilebarkan kepada bukan Islam, kepada semua peringkat termasuk golongan yang mempunyai masalah seperti banduan dan remaja yang berkeliaran.

"Kita tidak mahu (program ini) hanya orang yang baik saja datang tetapi orang yang ada masalah pun boleh turut serta kerana al-Quran untuk semua.

Iklan

"Kita yakin al-Quran adalah matahari yang tidak akan terpadam dan akan sampai ke seluruh hati manusia," katanya ketika ditemui selepas program Malaysia #QuranHour 2025 di Masjid Negara pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Iklan

Mengulas mengenai tema Malaysia #QuranHour 2025 iaitu Merdeka Dengan Rasa, Ahmad Fauwaz berkata, masyarakat hari ini berdepan cabaran besar apabila kehidupan mereka terlalu bergantung dengan kemudahan teknologi sedia ada sehingga menyebabkan hilang nilai penghayatan terhadap nikmat yang diberikan.

“Kita mempunyai kemodenan kehidupan yang luar biasa. Cepatnya waktu berlalu dan kewujudan kecerdasan buatan (AI) tapi yang kita hilang adalah rasa.

“Kewajipan kita menghidupkan jiwa untuk merasai segala nikmat yang ALLAH SWT anugerahkan kepada kita. Contohnya, ramai orang pergi ke Makkah dan Madinah tapi tidak ada rasa (penghayatan).

“Begitu dengan kita. Kecepatan waktu kita yang pantas dengan kemudahan dan kemodenan tetapi rasa kita hilang yang menyebabkan kita tidak menghargai sesuatu apatah lagi nikmat kemerdekaan yang ALLAH SWT anugerahkan kepada kita,” ujar beliau.