Al-Quran benteng jiwa, penawar kegelisahan – Menteri Agama

Iklan
Mohd Na’im (kiri) dan Ahmad Zahid (kanan) pada Malaysia #QuranHour 2025 di Masjid Negara pada Sabtu. Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR – Al-Quran bukan sahaja berperanan sebagai panduan hidup, malah menjadi benteng jiwa, penawar kegelisahan dan pembentuk akhlak agar manusia bebas daripada belenggu nafsu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, atas semangat itu, rakyat Malaysia menyertai Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, bertemakan 'Merdeka Dengan Rasa' program tersebut berpandukan surah al-Saff, al-Balad dan Ali ‘Imran yang dipilih sebagai surah utama untuk dibaca serta ditadabbur bersama.

“Penganjuran kali ini cukup istimewa kerana menjadi sebahagian daripada pengisian Hari Kebangsaan melalui kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan.

Iklan

“Malaysia #QuranHour amat bermakna kerana ia mengajak seisi keluarga membaca dan memahami mesej al-Quran dengan bimbingan qari serta pentadabbur,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan

Beliau berharap program itu menjadi asbab negara terus dilimpahkan rahmat, kemakmuran serta keamanan dengan keberkatan al-Quran.

“Mudah-mudahan, getaran wahyu yang kita tadabbur daripada surah al-Saff, al-Balad dan Ali ‘Imran menjadi cahaya dalam diri, keluarga, bangsa dan negara tercinta,” ujarnya.

Terdahulu, edisi ke-11 Malaysia #QuranHour berlangsung serentak di seluruh negara bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang dengan tema 'Merdeka Dengan Rasa'.

Program itu mendapat naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Sekretariat Merdeka, Masjid Negara, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam (MPAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Rumah Ngaji serta Sahabah al-Quran dalam dan luar negara.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertindak sebagai penyiar utama bersama rakan media termasuk Sinar Harian, Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.