PUTRAJAYA - Pusat Beli-Belah Alamanda Putrajaya tampil dengan kempen khas bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan pengunjung sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68.
Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, kempen Merdeka berlangsung sehingga 1 September di Alamanda dengan tawaran ganjaran istimewa di mana pelanggan yang berbelanja sebanyak RM500 ke atas dalam dua resit di kedai terpilih berpeluang membawa pulang baju-T edisi terhad Merdeka ke-68.
"Bagi kategori 'High Spenders' pula, pengunjung yang berbelanja RM1,500 ke atas dalam dua resit akan menerima eksklusif selain e-Baucar Alamanda bernilai RM50 sebagai penghargaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, Mesra Mall Kemaman di Terengganu turut tidak ketinggalan memeriahkan sambutan dengan kempen Merdeka yang berlangsung sehingga 8 September.
"Pusat beli-belah itu dihiasi dekorasi bertemakan Hari Kebangsaan termasuk ruang foto khas serta paparan Jalur Gemilang yang mencetuskan suasana penuh patriotik," katanya.
Beliau berkata, seramai 500 pembeli pertama yang berbelanja RM350 ke atas dalam dua resit di kedai terpilih berpeluang menebus baju-T edisi khas Mesra Merdeka 2025.
Lebih istimewa katanya, pada 31 Ogos tepat jam 2 petang seramai 100 pengunjung pertama yang hadir di kaunter 'Concierge' akan menerima pelekat kereta Jalur Gemilang secara percuma.
"Kempen yang dianjurkan bukan sekadar menawarkan ganjaran kepada pelanggan, malah bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotik dalam kalangan masyarakat.
“Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-68, kami berbangga dapat berkongsi semangat Merdeka bersama para pengunjung di Alamanda dan Mesra Mall.
"Kempen ini adalah tanda penghargaan kepada pelanggan setia serta ajakan untuk sama-sama meraikan warisan dan perpaduan negara,” katanya.