JOHOR BAHRU – Pemilihan surah As-Saff yang menekankan mengenai kekuatan barisan dan perpaduan pada penganjuran Malaysia#Quran Hour hari ini dilihat bertepatan dengan bulan kemerdekaan ketika ini.
Menurut guru al-Quran Rumah Ngaji Keris Mas, Asiah Abdul Hamid, 70, surah berkenaan secara keseluruhannya menuntut umat Islam agar sentiasa berdiri teguh dalam satu barisan.
Beliau berkata, ia juga satu simbolik kepada pentingnya umat Islam menjaga kesatuan ummah.
“Saf yang rapat melambangkan kesatuan dan juga perpaduan dalam kalangan masyarakat.
"Begitu juga Malaysia, kemerdekaan kita dapat dipertahankan apabila rakyat sentiasa berdiri teguh bersama-sama," katanya.
Asiah berkata demikian bagi mengulas program Malaysia #Quran Hour di Mydin Mall Taman Pelangi Indah di sini pada Sabtu.
Seramai 70 peserta menyertai program berkenaan yang dianjurkan Rumah Ngaji Keris Mas dengan Mydin Mall Taman Pelangi Indah.
Seorang lagi guru al-Quran, Mohd Solehin Mohd Said, 35, berkata, surah As-Saff turut merakamkan kisah peperangan Badar yang membuktikan kekuatan saf dan strategi.
Katanya, berdasarkan kepada kisah perang Badar, di mana tentera Islam telah berjaya menewaskan tentera musyrikin berasaskan kepada kekuatan saf yang dimiliki.
“Walaupun jumlah tentera Islam hanya 313 orang berbanding lebih 1,000 tentera musyrikin, tetapi kesatuan saf memberi kemenangan.
“Jadi kita mahu masyarakat bukan sekadar membaca, tetapi juga menghayati mesej al-Quran dalam kehidupan seharian.
"Malah, dalam khutbah terakhir baginda, Rasulullah SAW turut berpesan agar berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah," katanya.
Sementara itu, Pengurus (Mall), Mydin Taman Pelangi Indah, Hidayu Mazlan, 35, berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang untuk penganjuran aktiviti-aktiviti keagamaan seumpamanya di pasa rraya berkenaan.
Katanya, program-program sedemikian dilihat memberikan impak positif terutamanya dari segi sosial dan kemasyarakatan.
"Sebenarnya program terutamanya keagamaan memang boleh dianjurkan di pasar raya ini.
"Ini bukannya kali pertama, sudah dua tiga kali program sebegini dibuat di sini.
"Aktiviti-aktiviti seperti ini juga dilihat berikan impak yang besar khususnya dari segi sosial dan lain-lain," katanya.