SUNGAI DUA – Masjid Raudhatun Nahrain yang baharu dua bulan dibuka di sini diimarahkan dengan penganjuran Program Malaysia #QuranHour peringkat Pulau Pinang pada Sabtu.
Lebih 500 peserta termasuk penduduk sekitar Sungai Dua serta ahli Rumah Ngaji Pulau Pinang hadir menjayakan program yang bermula pada jam 9 pagi itu.
Program Malaysia #QuranHour yang bertemakan 'Merdeka Dengan Rasa' mengangkat bacaan surah al-Saff, al-Balad dan Ali Imran dipimpin oleh Ustaz Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir, manakala sesi tadabbur disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar.
Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton @ Zariyah Abdullah berkata, penganjuran Malaysia #QuranHour di negeri ini bertujuan mengajak masyarakat membina bunyanun marsus iaitu saf atau binaan ummah yang kukuh berteraskan iman dan Islam.
“Banyak kerumitan dalam masyarakat seperti kepimpinan yang rasuah, rakyat terhimpit, kes buli, kes jenayah termasuk bunuh, tekanan hidup dan sebagainya berpunca daripada kelompangan hati terhadap al-Quran.
“Melalui program ini, kita memberi peluang kepada masyarakat untuk bertadabbur, menjernihkan hati dan kembali mengangkat al-Quran sebagai panduan kehidupan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.
Zaiton berkata, ayat 52 surah Ali Imran yang merakamkan kisah Nabi Isa AS menyeru para Hawariyyun untuk bangkit menentang kekufuran Bani Israel dijadikan pedoman kepada umat Islam agar kembali kepada kitabullah.
Katanya, Malaysia #QuranHour juga membawa mesej kesatuan ummah dengan menyeru umat Islam agar banyak bertasbih, menolak penindasan, menentang kezaliman, menguatkan ukhuwah serta melaksanakan apa yang diucapkan dalam kehidupan.
“Harapan kami agar dakwah ini berterusan untuk membina iman dan takwa dengan pendekatan berteraskan al-Quran, seterusnya menjadikan al-Quran sebagai minda dalam kehidupan dan pentadbiran negara,” katanya.
Sementara itu, program sama turut diadakan di Perpustakaan Awam Pulau Pinang di Seberang Jaya yang menghimpunkan lebih 300 peserta.
Program berkenaan turut disiarkan secara langsung di platform YouTube, TikTok dan Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang serta berjaya menarik lebih 3,000 penonton untuk turut sama membaca tiga surah pilihan sempena Malaysia #QuranHour.