'Batman' tangkap lelaki pecah rumah

Iklan
Seorang lelaki berbaju tidur batman menjadi wira tidak diduga apabila berjaya menahan suspek pecah rumah sebelum polis tiba. Foto Cape Coral Polis Department

FLORIDA - Seorang lelaki berbaju tidur batman menjadi ‘wira tidak diduga’ apabila berjaya menahan seorang suspek pecah rumah di Cape Coral, awal pagi Rabu lalu.

Menurut laporan Cape Coral Police Department, kejadian berlaku kira-kira jam 2.03 pagi apabila pegawai bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kes pecah rumah.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, sebaik tiba, mereka mendapati suspek sudah pun ditahan oleh seorang jiran yang berbaju tidur batman.

Jiran terbabit, Kyle Myvett berkata, dia pada mulanya sedang tidur sebelum sistem kamera keselamatan mengesan seseorang cuba memecah masuk ke dalam kenderaannya.

Iklan

“Masih berbaju tidur, saya keluar memeriksa dan ternampak lelaki itu sedang menggeledah trak saya. Tidak lama kemudian, saya dapati dia berada di garaj jiran lalu saya menahannya sehingga polis tiba,” katanya seperti dipetik laporan polis.

Suspek dikenali sebagai Justin Schimpl, 20, yang sebelum ini turut mempunyai rekod siasatan dengan pihak berkuasa.

Iklan

Hasil siasatan mendapati dia mencuri pelbagai barangan termasuk dua pasang cermin mata hitam jenama Ray-Ban bernilai kira-kira RM2,700, wang tunai, dompet wanita serta lebih RM2,250 dalam bentuk kad hadiah.

Polis memaklumkan Schimpl mendakwa dia bersama seorang lelaki lain, namun identiti individu itu sering berubah setiap kali disoal siasat.

“Pihak kami bersama Unit K9 serta helikopter Pejabat Sheriff Daerah Lee telah melakukan pencarian di kawasan sekitar, namun tiada suspek lain ditemui,” kata kenyataan itu.

Schimpl kini ditahan di Penjara Daerah Lee dengan beberapa pertuduhan, antaranya dua kes pecah masuk kenderaan, dua kes mencuri serta satu kes pecah masuk kediaman berpenghuni.

Polis turut menyifatkan tindakan pantas Myvett berjaya membantu menyelesaikan satu lagi kejadian pecah rumah di kawasan berkenaan.