AUSTIN - Seorang calon haluan kanan Republikan (GOP) di Texas bertindak biadab membakar al-Quran menerusi iklan kempen yang disiarkan di platform X pada Selasa lalu.
Valentina Gomez mengundang kecaman warganet setelah dia berikrar mahu 'menghapuskan Islam' buat selama-lamanya.
Gomez yang meniru slogan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, 'Make America Great Again America First' kini cuba meraih sokongan puak sayap kanan untuk dipilih sebagai anggota Kongres dan mencabar rakan GOP, John Carter bagi mewakili Daerah Kongres ke-31 Texas di Dewan Perwakilan AS.
Menerusi klip kempen murahan berdurasi 37 saat tersebut, wanita itu turut memburuk-burukkan imej Muslim ketika melakukan perbuatan yang jelas menghina Islam.
“Amerika ialah negara Kristian. Jadi, orang Islam boleh nyah ke mana-mana 57 negara Islam lain. Hanya ada satu tuhan iaitu tuhan Israel. Saya akan hapuskan Islam di Texas,” menurut catatannya yang disifatkan sebagai provokasi melampau kerana memaparkan sentimen anti-Muslim.
Aksi keterlaluan wanita berusia 26 tahun itu meraih kira-kira 3.8 juta tontonan dalam sehari dan dikritik banyak pihak.
“Ini bukan kempen politik sebaliknya satu bentuk hasutan,” tegas pengaudio siar, Brian Allen menerusi ciapan semula di platform X.
Pendatang dari Colombia yang berhijrah ke AS itu sering menggunakan slogan kontroversi demi mempromosikan dirinya dengan cara memalukan selain menjadi penyokong tegar Trump. - Agensi