PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi agensinya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan pakej pengurangan fi cap dagangan sebanyak RM300 bermula 1 September depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif yang bakal berakhir pada 31 Disember itu menjadikan bayaran fi cap dagangan hanya RM650 bagi setiap permohonan berbanding sebelumnya, RM950.
“Potongan ini terbuka kepada individu serta entiti perniagaan termasuk persatuan dan pertubuhan yang mahu mendaftarkan jenama atau logo perniagaan mereka," katanya.
Jelas beliau, setiap permohonan yang diluluskan akan mendapat perlindungan selama 10 tahun di bawah undang-undang harta intelek.
"Inisiatif itu digerakkan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan melakukan pendaftaran harta intelek sekali gus meningkatkan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di pasaran global," ujarnya.
Armizan berkata, sebanyak 96.1 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan di negara ini adalah PMKS dengan lebih 70 peratus daripadanya merupakan perusahaan mikro.
“Dengan adanya perlindungan cap dagangan, PMKS berpeluang memperkukuh kedudukan di pasaran tempatan selain memperluaskan capaian ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula memperkenalkan Bas Ezbiz On-The-Go 2.0 bagi memudahkan orang ramai mengakses perkhidmatan pendaftaran syarikat secara bergerak.
“Bas baharu ini menampilkan reka bentuk kontemporari yang dilengkapi kaunter moden, kiosk layan diri dengan skrin sesentuh mudah alih serta ruang taklimat selesa. Ia didaftarkan dengan nombor khas 1604, simbolik tarikh penubuhan SSM pada 16 April 2002,” jelasnya.
Beliau berkata, selain agensi kerajaan, rakan strategik KPDN iaitu Shopee turut menawarkan Kempen Shopee Payung RM100 bermula 31 Ogos hingga 16 September ini.
“Melalui kempen ini, pelanggan boleh mendapatkan baucar Shopee bernilai RM100 dengan hanya RM1.
"Sebanyak RM10 juta diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 100,000 pengguna. Kempen ini turut disertakan tawaran penghantaran percuma sepanjang tempoh berkenaan,” ujar Armizan.