BEIJING – Seorang bapa di China sanggup berjalan kaki sejauh 800 kilometer (km) bersama dua anaknya selama 31 hari demi memupuk sifat berdikari dan ketabahan dalam diri mereka.
Lelaki dikenali sebagai Wu membawa anak perempuannya berusia 10 tahun serta anak lelaki berumur lapan tahun bermula dari daerah Baoan, Shenzhen pada 17 Julai sebelum menamatkan perjalanan di Changsha, wilayah Hunan pada 17 Ogos lalu.
"Saya tidak sangka mereka mampu bertahan hingga ke penghujung.
"Saya rasa lega dan sangat bangga dengan mereka,” katanya memetik laporan Jimu News.
Wu yang mengusahakan sekolah memandu di Shenzhen mengakui jarang mempunyai masa bersama anak-anak kerana kesibukan kerja.
Dua tahun lalu, dia bercadang membawa anak-anak pulang ke kampung halaman dengan berjalan kaki, namun membatalkan hasrat itu kerana usia mereka masih kecil.
"Saya mahu mereka jadi lebih kuat, tidak mudah mengalah dan membiasakan diri menamatkan apa yang telah dimulakan," ujarnya.
Sepanjang perjalanan, Wu membawa beg seberat 10 kilogram (kg) manakala setiap anaknya menggalas beg lima kg.
Mereka berjalan sekurang-kurangnya 23km setiap hari.
Wu turut menetapkan bajet harian buat anak-anak dan jika melebihi, mereka perlu membayar menggunakan wang poket sendiri.
Pada 17 Ogos lalu, mereka tiba di Stesen Kereta Api Selatan Changsha yang mana isteri Wu iaitu Wang, setia menanti.
Menurut Wang, pengalaman itu mengubah sikap anak perempuannya yang kini kurang cerewet manakala anak lelaki lebih berdikari.