PM bakal sampaikan amanat Hari Kebangsaan Sabtu ini

Iklan
Walaupun sekadar raptai, Dataran Putrajaya pagi ini bergema dengan sorakan dan kibaran Jalur Gemilang apabila ribuan peserta serta penonton bersama-sama menyemarakkan semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2025. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat sempena Hari Kebangsaan 2025 pada 30 Ogos ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, majlis itu diadakan sebagai satu daripada usaha untuk menyampaikan hasrat dan harapan pimpinan tertinggi kerajaan mengenai kepentingan menghayati semangat perpaduan serta menyemai patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tema sambutan tahun ini,"Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, membawa maksud bahawa setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya, dan latar belakang adalah aset negara yang mesti dihargai, disantuni, serta dirangkul dalam semangat kebersamaan.

"Amanat yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri diharap dapat memberikan inspirasi baharu kepada rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu, menghargai pengorbanan generasi terdahulu, serta menghayati erti kemerdekaan dalam konteks cabaran semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan
Iklan

Aaron berkata, kira-kira 5,000 tetamu, termasuk penjawat awam, agamawan, jentera perpaduan, pelajar sekolah, anggota badan beruniform, pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT), golongan belia, usahawan dan warga kerja swasta dijangka hadir ke majlis itu bagi menyemarakkan penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama generasi baharu.- Bernama