SEREMBAN - Seorang pekerja kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan merogol teman wanitanya yang berusia 13 tahun.
Tertuduh, lelaki berusia 18 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan kesalahan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada 19 Ogos 2025, kira-kira jam 9.35 pagi di sebuah hotel di Jalan Rasah, Bukit Rasah, Seremban.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bercagar, serta memaklumkan bahawa mangsa merupakan teman wanita tertuduh.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah bahawa dia hanya bekerja di kedai makan dengan pendapatan RM1,400 sebulan serta merupakan anak sulung daripada lapan beradik.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan 29 September sebagai tarikh untuk laporan sosial serta hukuman.