Bukan mudah buat Zii Jia bangkit selepas berehat panjang - Penganalisis sukan

Iklan
Zii Jia kandas di saingan awal Kejohanan Dunia. (Gambar kecil: Zakaria)

KEKALAHAN Lee Zii Jia dalam saingan awal Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris pada Isnin sememangnya sudah dijangka kerana pemain perseorangan lelaki negara itu telah berehat panjang selepas pulih daripada kecederaan.

Penganalisis sukan, Zakaria Rahim berkata, bukan mudah buat seorang atlet untuk kembali ke tahap terbaik seperti sebelumnya selepas pulih daripada kecederaan.

Iklan
Iklan

"Contoh jelas, Kento Mamota (pemain Jepun) yang cedera kerana kemalangan. Agak lama untuk dia kembali cergas sepenuhnya," katanya.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu gagal melepasi pusingan pertama kejohanan berprestij itu selepas tewas straight set di tangan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin.

Iklan

Zakaria juga melihat Zii Jia takut-takut untuk bermain secara agresif seperti sebelum ini, sebaliknya terlalu mengikut rentak pemain lawan yang bermain rali.

"Hanya sesekali dia buat serangan. Seketika bila dia terbaring cuba nak ambil 'shuttle', sangat risau dia dapat kecederaan balik. Kemungkinan itu memang besar jika tidak berhati-hati.

Iklan

"Mentalnya pun tidak 100 peratus dalam permainan kerana sebahagian daripadanya memikirkan bahagian kecederaan dan jalan paling selamat untuk jangka masa panjang ialah ‘play safe'," katanya.

Dalam aksi di Adidas Arena, Paris itu, Zii Jia tumpas 21-17, 21-11 dalam masa 41 minit permainan.

Kekalahan itu memungkinkan peluang Zii Jia untuk layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) semakin sukar apatah lagi dengan kedudukan rankingnya di tempat ke-73.

"Saingan menuju Jelajah Dunia berbaki 20 kejohanan termasuk Super 100 dan 300.

"Kejohanan Super 500 dan 750 hanya tinggal sembilan dan Zii Jia tiada pilihan selain layak ke final kesemua baki kejohanan ini. Itupun belum menjamin peluangnya ke WTF kerana pemain lain bukannya tunggul kayu.

"Harapnya Zii Jia dapat bangkit dan berjaya mencelahkan dirinya ke WTF Disember nanti. Kalau ikut kalendar, kejohanan seterusnya adalah Terbuka Hong Kong pada 9 September," katanya.