WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah memecat gabenor Rizab Persekutuan (Fed), Lisa Cook daripada jawatannya, berikutan dakwaan kenyataan palsu dalam satu atau lebih perjanjian gadai janji, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Terdapat"alasan yang mencukupi untuk mempercayai” bahawa gabenor itu telah membuat kenyataan palsu, kata Trump dalam surat kepada Cook yang dikongsinya di Truth Social pada Isnin.
Di bawah undang-undang AS, seorang presiden hanya boleh memecat gabenor Fed dengan alasan kukuh, sekali gus menimbulkan kemungkinan keputusan Trump itu boleh berdepan cabaran undang-undang.
Trump sebelum ini telah menyatakan hasratnya mengenai langkah itu dengan memberitahu pemberita:"Saya akan memecatnya jika beliau tidak meletak jawatan.”
Cook baru-baru ini berdepan penelitian berhubung dakwaan"ketidakaturan” dalam permohonan gadai janji, yang dibangkitkan dalam surat daripada pengarah Agensi Kewangan Perumahan Persekutuan kepada Peguam Negara, Pam Bondi.
Trump sejak beberapa bulan lalu menekan Rizab Persekutuan supaya menurunkan kadar faedah, satu tuntutan yang tidak dipenuhi memandangkan penggubal dasar kekal bimbang terhadap inflasi yang sebahagiannya didorong oleh tarif import yang dikenakan Trump.
Gesaan Trump sebelum ini supaya pengerusi Fed, Jerome Powell meletak jawatan juga tidak berjaya.
Cook, seorang ahli ekonomi, menyertai lembaga Fed pada Mei 2022. Sebelum pelantikannya, beliau merupakan profesor ekonomi dan hubungan antarabangsa di Michigan State University. - Bernama-dpa