10 kubur berusia lebih 300 tahun dipindahkan

Iklan
Proses kebumi semula jasad yang telah dialihkan ke lokasi baharu.

KUALA PILAH – [DIKEMAS KINI] Sebanyak 10 kubur yang dipercayai berusia lebih 300 tahun dipindahkan dari sebuah kawasan perkuburan lama di Kampung Parit Istana, Kampung Terachi, di sini pada Selasa.

Difahamkan, kawasan perkuburan tersebut terletak di atas tanah persendirian dan pemiliknya bercadang untuk membina sebuah rumah di tapak berkenaan.

Iklan
Iklan

Kerja-kerja penggalian dan proses mengkafankan semula jenazah dikongsikan menerusi platform TikTok Waghih Nismilan, iaitu akaun rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Menurut pengendali akaun tersebut, proses pemindahan dilakukan secara tertib mengikut prosedur yang ditetapkan serta telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa agama.

Iklan

“Pemilik telah membuat permohonan rasmi kepada pejabat agama berhampiran. Kemudian, siasatan awal dijalankan sebelum permohonan seterusnya dikemukakan kepada pihak Mufti untuk mendapatkan kelulusan akhir sebelum proses pemindahan jasad dilakukan.

“Hari ini, proses pengalihan kubur lama dilakukan selepas mendapat kebenaran daripada pejabat agama,” katanya.

Iklan

Tambahnya, wakil daripada Muzium Negeri Sembilan yang hadir di lokasi mengesahkan bahawa batu sungai yang dijadikan batu nesan pada kubur tersebut dianggarkan berusia lebih 300 tahun.

“Kemungkinan terdapat serpihan tulang, selain jasad dikenal pasti melalui struktur tanah. Setakat ini, belum ada jasad sempurna yang ditemui memandangkan kubur ini telah berusia ratusan tahun,” katanya.

Proses pemindahan tersebut turut melibatkan penglibatan wakil agama serta komuniti setempat dan selesai sekitar jam 1 petang.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah turut mengesahkan proses pengalihan kubur lama di atas Lot 360, Mukim Terachi dilaksanakan atas permintaan waris.

Menurutnya, proses pengalihan kubur lama ini telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan pada 3 Julai 2025 yang membenarkan pemindahan sebanyak sepuluh kubur lama itu ke kawasan Tanah Perkuburan Islam Parit Istana yang terletak berhampiran dari lokasi asal.

"Proses pemindahan bermula pada jam 8 pagi telah berjaya diselesaikan sekitar jam 1 petang.

"Pelbagai pihak telah terlibat dalam melancarkan proses pemindahan ini antaranya Masjid Kariah Parit Istana, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung selain tuan tanah sendiri," katanya.