BAYAN LEPAS – Sebuah kedai tomyam musnah kira-kira 50 peratus selepas terbakar dalam kejadian di Jalan Sungai Ara, Kampung Tersusun di sini pada malam Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah kedai dua tingkat berkeluasan kira-kira 167 meter persegi.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.32 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.
“Kebakaran berlaku di tingkat atas. Api berjaya dikawal pada jam 9.56 malam dan operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada jam 10.30 malam.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat ketika kejadian kerana restoran masih beroperasi di tingkat bawah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, seramai 29 anggota dari BBP Bayan Baru, BBP Jalan Perak dan BBP Paya Terubong terlibat dalam operasi bersama tujuh jentera termasuk Unit Kecemasan Perkhidmatan Perubatan (EMRS) dan Fire Rescue Tender.
“Operasi turut dibantu polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) antaranya Perak Lane, Bukit Bendera, Lebuh Bakau, Batu Maung dan Paya Terubong.
“Api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan bersebelahan dan lokasi kejadian diserahkan kepada Unit Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut,” ujarnya.