KANGAR – Lebih 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis di sini akan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas bangunan sekolah itu mengalami kerosakan teruk akibat ribut yang melanda pada petang Isnin.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau menerima laporan segera berhubung kejadian tersebut dan bersyukur tiada murid, guru atau warga sekolah yang mengalami kecederaan.
“Saya telah arahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis untuk menyediakan laporan penuh mengenai tahap kerosakan. Peruntukan bencana akan disalurkan segera bagi membolehkan kerja baik pulih dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, PdPR akan dilaksanakan buat sementara waktu bagi memastikan keselamatan semua warga sekolah terjamin.
Kejadian ribut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ai Ling yang turun ke lokasi sejurus menerima maklumat daripada penduduk setempat.
“Saya terima mesej dan panggilan daripada penduduk yang memaklumkan bumbung rumah dan gerai mereka diterbangkan angin. Keadaan di SK Seri Perlis agak serius, melibatkan kerosakan pada bangunan sekolah, papan tanda premis sekitar dan beberapa kenderaan,” katanya.
Beliau turut berhubung dengan Pengarah JPN Perlis, Rose Aza Che Arifin dan turun ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan.
Sementara itu, Rose Aza memaklumkan bahawa kerosakan melibatkan beberapa kelas termasuk dua kelas Tahun 1 (70 murid), dua kelas Tahun 2 (74 murid), lima kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (38 murid) dan satu kelas pra sekolah (25 murid).
“Kami telah maklumkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan akan mohon agar bangunan yang terjejas diperbaiki segera. Pihak sekolah juga diminta memantau pelaksanaan PdPR agar pembelajaran murid tidak terjejas,” ujarnya.
Terdahulu tular satu video kelihatan bumbung sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis tercabut sebelum diterbangkan angin kuat.
Rakaman menunjukkan atap bangunan sekolah berkenaan diterbangkan ribut, manakala serpihan bumbung pula kelihatan jatuh dan berterbangan ke kawasan sekitar.