KUANTAN – Seorang lelaki warga Bangladesh berjaya dicekup kira-kira 24 jam selepas melarikan tiga telefon bimbit berjenama dari sebuah kedai telefon dalam sebuah pusat beli-belah di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 malam ketika berada di Jalan Bukit Ubi di sini pada Ahad.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut ke atas lelaki berkenaan, polis berjaya menemui dan merampas kembali tiga telefon bimbit bernilai RM8,000 yang dilarikan sebelum ini.
“Suspek disyaki turut terlibat dalam kes pecah pejabat pada Jumaat lalu selepas polis berjaya menemui dan merampas tiga komputer riba, sebuah tablet dan monitor dalam simpanannya,” katanya.
Ashari berkata, hasil semakan mendapati suspek merupakan penganggur dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Susulan penahanan suspek itu, kami telah berjaya menyelesaikan dua kes jenayah melibatkan harta benda yang dilaporkan di daerah ini minggu lalu,” katanya.
Jelas beliau lagi, suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis berterima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditangkap,” ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam Sabtu lalu, suspek yang memakai jaket serta pelitup muka berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan tiga telefon bimbit yang dipamerkan di premis kedai dalam pusat beli-belah itu.
Jurujual bertugas bertindak mengejar namun gagal apabila suspek berjaya melarikan diri.
Kejadian itu sebelum ini tular di laman sosial selepas bukti rakaman CCTV dikongsi netizen.