GEORGE TOWN- Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah lori muatan sampah dalam kemalangan di Jalan Kebun Baru Juru di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.04 tengah hari itu, mangsa, Mohd Rosaidi Awang, 42, tersepit di bahagian pemandu lori satu tan yang dipandunya.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dengan bantuan BBP Bandar Perda bergegas ke lokasi.
“Ketika tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori satu tan telah melanggar belakang lori muatan sampah.
“Terdapat seorang mangsa tersepit di ruangan pemandu lori terbabit. Anggota menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’ untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 12.49 tengah hari namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 1.02 tengah hari," ujarnya.