KOTA BHARU – Polis Kelantan memperketatkan kawalan di sempadan negara susulan insiden serangan bom menggunakan kereta di Tak Bai, Narathiwat, Thailand pada Rabu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan dua suspek utama kes berkenaan melarikan diri ke Malaysia.
Iklan
Iklan
“Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam membantu mengesan suspek sekiranya ada maklumat yang disalurkan kepada kami.
“Cuma secara rasmi kita belum menerima sebarang maklumat,” katanya pada sidang akhbar di sini, Ahad.
Terdahulu, beliau merasmikan Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Thailand turut memperketatkan kawalan di sepanjang Sungai Golok bagi menghalang suspek menyeberang ke Malaysia.
Menurut jurucakap Markas Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Kolonel Kiattisak Neewong, gerakan memburu kedua-dua suspek dipergiat selepas pihaknya menerima arahan daripada Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang.