Pelajar kolej maut tercampak dari jejambat DASH

Iklan
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi terbabit.

SHAH ALAM – Selekoh di jejambat susur Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) sekali lagi menjadi lokasi meragut nyawa apabila seorang penunggang motosikal terjatuh dari ketinggian 21 meter dalam kejadian pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu, mangsa yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala selepas tercampak dari jejambat berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah Persiaran Mokhtar Dahari.

"Motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam di lokasi berkenaan lalu terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan jejambat.

Iklan

Selekoh di jejambat susur Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) sekali lagi menjadi lokasi meragut nyawa apabila seorang penunggang motosikal terjatuh dari ketinggian 21 meter dalam kejadian pada Sabtu.

"Kejadian mengakibatkan mangsa tercampak ke bawah pada ketinggian 21 meter dan jatuh di kawasan berumput di Persiaran Pulau Angsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi terbabit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 012-2836851 atau balai polis berdekatan," katanya.

Difahamkan kejadian itu merupakan kemalangan maut kedua di lokasi sama dalam tempoh setahun.

Media sebelum ini melaporkan sekitar 24 Julai lalu, seorang pemuda berusia 23 tahun turut terbabas di selekoh tersebut sebelum terjatuh ke bawah jejambat dan meninggal dunia di lokasi kejadian.