Kereta dinaiki pasangan suami isteri terbabas, terbalik

Iklan
Sepasang suami isteri nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 226 Lebuhraya PLUS arah utara.

KEPALA BATAS – Sepasang suami isteri nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di Kilometer 226 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, di sini awal pagi Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.50 pagi itu, kedua-dua mangsa bagaimanapun dilaporkan selamat tanpa mengalami kecederaan serius.

Iklan
Iklan

“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba di lokasi pada jam 6.08 pagi, didapati sebuah kereta terbabas lalu melanggar pembahagi jalan. Terdapat dua mangsa di dalam kereta tersebut namun mereka tidak tersepit dan berjaya keluar sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Iklan

Menurutnya, operasi melibatkan sembilan anggota bomba bersama sebuah jentera FRT dan sebuah unit URVAN.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.53 pagi selepas keadaan disahkan selamat.

Iklan

“Kita turut mendapat bantuan daripada polis dan kes dirujuk kepada pihak polis bagi tindakan lanjut,” ujarnya.