IPOH – Masjid Sultan Idris Shah II atau dikenali sebagai Masjid Negeri akan menjadi tuan rumah penganjuran Malaysia #QuranHour peringkat Negeri Perak pada Khamis ini.
Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun berkata, kira-kira 1,000 peserta dijangka hadir ke lokasi utama membabitkan ahli Rumah Ngaji dari seluruh negeri, agensi kerajaan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Robaatun, pelbagai persediaan giat dilakukan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Penganjuran Malaysia #QuranHour diadakan lebih awal kerana kita mahu penyertaan meluas melibatkan kakitangan jabatan kerajaan, pelajar dan komuniti setempat, selari dengan temanya ‘Merdeka Dengan Rasa’.
“Sesi tadabbur kali ini akan disampaikan Ahli Majlis Agama Islam Negeri, Dr Fahmi Abd Khir yang akan menelusuri Surah al-Saff dan al-Balad bermula jam pagi hingga 1 petang,” katanya.
Robaatun berkata, program tersebut bertujuan menyatukan rakyat melalui tadabbur dan penghayatan al-Quran.
“Selain itu, ia menyemarakkan budaya cinta al-Quran serta memupuk semangat kesatuan dan meningkatkan nilai rohani dalam kalangan masyarakat.
“Semua Rumah Ngaji di seluruh negeri disarankan untuk mempromosikan Malaysia #QuranHour di premis masing-masing bagi menarik lebih ramai penyertaan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan,” katanya.