NCD punca utama kematian pramatang – Dr Dzulkefly

Iklan
Dr Dzulkefly (duduk tiga dari kanan) bergambar semasa Jelajah ANMS Peringkat Negeri Selangor serta majlis penutup Program Jom Nak Sihat Kuala Selangor 2025 pada Sabtu.

Negara berbelanja kira-kira RM64 bilion untuk menampung kos rawatan serta kerugian akibat kehilangan produktiviti pekerja.

KUALA SELANGOR – Penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi dan kolesterol tinggi kini menjadi punca utama kematian pramatang di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat penyakit itu menjadi faktor risiko utama kepada serangan jantung, strok, kanser dan penyakit paru-paru kronik yang meragut nyawa lebih awal daripada sepatutnya.

Iklan
Iklan

“Masalah NCD ini sangat serius kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan rakyat, malah memberi kesan besar kepada produktiviti negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Selangor serta Majlis Penutup Program Jom Nak Sihat Kuala Selangor 2025 di sini pada Sabtu.

Iklan

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu memberitahu, setiap tahun negara berbelanja kira-kira RM64 bilion untuk menampung kos rawatan serta kerugian akibat kehilangan produktiviti pekerja.

Menurut beliau, usaha mengekang peningkatan NCD perlu bermula dengan literasi kesihatan supaya rakyat celik mengenai risiko penyakit, kepentingan menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup aktif.

Iklan

“Kesihatan keluarga, terutamanya anak-anak, bermula daripada pengetahuan dan kesedaran ibu bapa.

“Jika mahu anak-anak cerdas, tubuh badan mereka juga perlu sihat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut berkongsi kejayaan Program Jom Nak Sihat Kuala Selangor yang menyaksikan hampir 80 peratus peserta berjaya menurunkan berat badan, manakala lebih 85 peratus meningkatkan tahap kecergasan masing-masing.

Mengulas mengenai pelaksanaan Jelajah ANMS, beliau menjelaskan program itu merupakan agenda negara dalam memacu pembudayaan hidup sihat ke arah kesejahteraan dan kecelikan kesihatan dalam kalangan rakyat.

Ujarnya, jelajah itu digerakkan di seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bertujuan meningkatkan literasi kesihatan, mencegah penyakit dan mendaya upayakan komuniti setempat agar rakyat lebih cakna dan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri serta keluarga.

“Jelajah kali ini merupakan siri ke-13 daripada 22 kawasan Parlimen di Selangor yang akan dilaksanakan dan dijangka berakhir pada Oktober depan.

“Pendekatan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menjadikan gaya hidup sihat sebagai budaya konsisten dan lestari di peringkat komuniti,” jelasnya.