Polis lepas tembakan, lelaki bawa dadah ditahan selepas dikejar 55km

Iklan
Kereta dipandu suspek memecut laju melepasi sekatan polis. FOTO: Ihsan Pembaca

GUA MUSANG – Polis melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang memecut laju dan cuba melanggar anggota polis dalam sekatan jalan di Chiku 3 di sini pada Khamis.

Sebaik ditahan selepas dikejar sejauh kira-kira 55 kilometer, pemeriksaan polis menemukan dadah disyaki syabu seberat 1.47 gram serta 33 biji pil dipercayai pil kuda dalam kenderaan terbabit.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kereta jenis Proton Preve dipandu suspek berusia 26 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dikejar kenderaan peronda anggota Ronda Cegah Jenayah pada jam 6.22 petang.

Pihak polis yang melintangi jalan raya bagi menangkap suspek. FOTO: Ihsan Pembaca

Iklan

“Suspek memecut kenderaan secara berbahaya dan tidak berhenti walaupun anggota cuba menahan, malah dia cuba melanggar polis yang berada di lokasi sekatan.

“Atas faktor keselamatan, anggota terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kanan kereta suspek, namun tidak mengenai sasaran,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut beliau, suspek dapat melepasi sekatan tetapi berjaya ditahan selepas dikejar semula.

Choon Foo berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang memecut laju. Foto: Ihsan Pembaca

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Paloh di talian 09-9285090,” katanya.