Kegagalan pelaburan FashionValet: Khazanah hargai teguran, cadangan PAC

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menghargai teguran dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Khamis berhubung isu pelaburan dalam FashionValet.

Khazanah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga ingin merakamkan penghargaan kepada kesemua ahli PAC di atas pengiktirafan terhadap ketegasan proses dalaman pihaknya iaitu memastikan keputusan pelaburan dibuat selaras piawaian tadbir urus tertinggi.

Iklan
Iklan

Sepanjang sesi bersama PAC, Khazanah turut berpeluang menjelaskan strategi modal teroka (VC) domestik termasuk sifat pelaburan yang berisiko tinggi seperti FashionValet.

"Selain itu, kami turut memberikan gambaran menyeluruh mengenai rangka kerja tadbir urus pelaburan kami secara keseluruhan, yang merangkumi pendekatan kelulusan pelbagai peringkat serta semakan risiko dan urus niaga secara bebas.

Iklan

"Sepertimana dinyatakan oleh PAC, strategi perniagaan FashionValet terkesan akibat kejutan luaran yang tidak dijangka khususnya omnichannel, selain pandemik Covid-19 dan perubahan tingkah laku pengguna.

"Bagaimanapun, kami mengakui penilaian PAC termasuk syor mempertingkatkan komunikasi awam mengenai strategi VC Khazanah, sifat berisikonya serta peranan kami dalam memacu inovasi," katanya pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin memaklumkan, kegagalan pelaburan Khazanah dalam FashionValet disebabkan syarikat berkenaan mengambil pendekatan strategi Omnichannel yang berisiko.

Tambahnya, kegagalan itu turut didorong kejutan pasaran luaran iaitu Covid-19 dan perubahan tingkah laku penggunaan pasca pandemik serta beberapa isu lain.

Justeru, kata Mas Ermieyati, PAC mengemukakan lima syor penambahbaikan iaitu Khazanah perlu secara proaktif dan berterusan mendidik orang ramai mengenai strategi serta peluang pelaburan melalui VC termasuk risiko tinggi model tersebut.

Katanya lagi, laporan tahunan, kenyataan media dan platform komunikasi lain mesti digunakan bagi menjelaskan rasional di sebalik pendekatan portfolio serta jangkaan bahawa akan ada pelaburan yang gagal sebagai sebahagian daripada strategi untuk memacu inovasi.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menambah, Khazanah perlu mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) untuk menjalankan analisis pasca nilai bagi setiap pelaburan yang dilupuskan dengan kerugian melebihi had material tertentu.

Mengulas lanjut, Khazanah memaklumkan, pihaknya komited menyokong ekosistem keusahawanan dan VC negara walaupun pelaburannya secara asas berisiko tinggi.

Katanya, ia penting bagi merangsang inovasi, memupuk syarikat pemula dan seterusnya mengukuhkan daya saing jangka panjang negara.

"Memandangkan sifat pelaburan VC yang berisiko, penilaian kejayaan sesuatu program pelaburan VC memerlukan pendekatan berasaskan portfolio, bukan hanya melihat kepada pelaburan secara individu.

"Berhubung proses dalaman kami, Khazanah menghargai panduan daripada PAC dan menyambut baik peluang untuk terus menambah baik serta memperkukuh proses sedia ada.

"Antaranya, Khazanah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Portfolio (PMC) setiap bulan bagi meneliti perkara termasuk pengurusan risiko, kemaskini syarikat dalam portfolio serta ulasan pos-mortem terhadap semua pelaburan kami, selain mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan (IC) secara tetap," ujar kenyataan tersebut.