SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) akan dibentangkan di Parlimen mengikut jadual sedia ada selepas mencapai kata sepakat dengan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Parlimen.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, persetujuan itu dicapai selepas pertemuan beliau dengan Pengerusi JKP Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab di Parlimen pada Khamis.
“JKP Parlimen telah bersetuju supaya RUU PSB diteruskan untuk dibentangkan mengikut jadual.
" Ia tertakluk kepada beberapa cadangan penambahbaikan yang akan diketengahkan semasa sesi perbahasan kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Kor Ming membentangkan bacaan kali pertama RUU PSB di Dewan Rakyat pada sesi pagi.
RUU PSB 2025 digubal bagi memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah dan Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr Alias Rameli.