SEREMBAN - Sepasang suami isteri kini dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan hampir keseluruhan rumah mereka di Taman Permai Impian di sini awal pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Hakimi Umaier Ghazali, 35, dan isterinya, Nur Syafiqah Suboh, 37, mengalami sesak nafas teruk akibat terhidu asap selepas gagal menyelamatkan diri.
Adik mangsa, Muhammad Amir Haziq Suboh, 32, memaklumkan abang iparnya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), manakala Nur Syafiqah dilaporkan masih tidak sedarkan diri.
“Tiga anak pasangan itu, Muhammad Iman Rizqi, 11; Muhammad Harraz Naufal, 7; dan Muhammad Aisy Mikhail, 3, turut berada dalam rumah ketika kejadian.
“Mereka kini dirawat di wad untuk pemantauan lanjut, dengan salah seorang menerima bantuan pernafasan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menceritakan lanjut, Muhammad Amir berkata, kebakaran dipercayai bermula dari kawasan meter elektrik di bahagian depan rumah sebelum merebak dengan cepat ke langsir dan perabot.
Menurutnya, seorang jiran yang menyedari kejadian bertindak mendapatkan bantuan orang awam bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
“Mereka terperangkap kerana pintu hadapan tidak dapat dibuka dan kunci pula berada di bahagian depan yang sudah terbakar.
“Mereka hanya mampu menjerit meminta tolong dari dalam rumah. Keadaan mereka ketika itu sangat lemah dan tidak mampu membuka pintu. Nasib baik jiran berjaya memecahkan pintu dan menyelamatkan mereka sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, PBK I (KUP) Nizam Yom berkata, dua jentera dari BBP Seremban dan BBP Seremban 2 bersama 16 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 2.40 pagi dan mendapati api sedang marak. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.57 pagi.
“Lima sekeluarga berada dalam rumah ketika kejadian. Dua dewasa mengalami sesak nafas dan diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kejadian melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat jenis kekal (Kelas A) berkeluasan 20x70 kaki persegi yang musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran itu.
Turut terjejas, sebuah kereta jenis Proton Saga yang musnah 50 peratus.
Ujarnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.