The Pocket Rocket Man ‘tukar’ kerjaya jadi pelakon, penyanyi 

Iklan
Dari kiri: Toni, Aman RA dan Azizulhasni pada pada program CIMB 'Kita Bagi Jadi' Budaya & Seni sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui berasa kekok apabila diminta berlakon dan menyanyi  dalam  video muzik rap ‘Bangun, Kita Bagi Jadi’ yang diterbitkan CIMB.

Beliau berkata, pengalaman itu benar-benar mencabar kerana dirinya langsung tidak pernah berlakon dan menyanyi  di depan kamera .

Iklan
Iklan

“Pada awalnya saya memang kekok, tidak tahu apa yang perlu dibuat. Saya siap tonton video penyanyi rap Snoop Dogg untuk belajar gaya persembahan sebab tiada pengalaman langsung,” katanya pada pelancaran CIMB 'Kita Bagi Jadi' Budaya & Seni  sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Rabu.

Difahamkan lagu itu merupakan pembikinan semula karya asal Bangun oleh penyanyi rap terkenal Aman RA, yang membawa mesej ketabahan rakyat dalam menghadapi cabaran hidup.

Iklan

Versi terkini ini menampilkan elemen seni, muzik dan kisah perjuangan individu yang menjadi cerminan kepada kempen sosial tersebut.

Video muzik berkenaan turut menampilkan gandingan Azizulhasni bersama Aman RA, dengan rakaman dijalankan selama tiga hari di beberapa lokasi termasuk perumahan flat, lapangan terbang dan kawasan kampung, melibatkan lebih 100 kru serta staf CIMB.

Iklan

Jelas Azizulhasni lagi, pengalaman menyanyi dan berlakon sememangnya sesuatu yang baharu dalam dirinya kerana selama ini beliau hanya tahu berlumba dan berlatih di trek. 

“Tetapi apabila diminta membuat monolog sempena sambutan 100 tahun CIMB tahun lalu, ia menjadi cabaran baharu buat saya.

“Tapi saya sahut cabaran baharu ini kerana kalau kita tidak letakkan diri dalam situasi itu, kita tidak akan tahu bahawa kita mampu melakukannya. Sama seperti kehidupan, kadangkala kita kena memaksa diri keluar dari zon selesa untuk sedar potensi sebenar.

"Dengan bimbingan ramai pihak, saya berjaya melakukannya dalam tempoh tiga bulan. Kemudian saya digandingkan bersama Aman RA untuk video muzik Bangun, Kita Bagi Jadi,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua  Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB Group, Toni Darusman berkata, gandingan Aman RA dan Azizulhasni dipilih kerana muzik dan sukan menjadi ejen perpaduan yang mampu menyatukan masyarakat.

“Inisiatif ini merupakan kesinambungan kempen fasa pertama Kita Bagi Jadi yang sebelum ini menyokong perjalanan atlet negara seperti S. Sivasangari dan Amer Harris, selain Azizulhasni, dalam mencapai impian mereka di pentas sukan antarabangsa,” katanya.

Jelas beliau lagi, selain muzik, CIMB turut meneruskan komitmen terhadap seni menerusi platform CIMB Artober yang berjaya menjana lebih RM20 juta hasil jualan karya lebih 100 artis tempatan dan serantau setakat ini.

Toni berkata, acara berprestij itu turut diiktiraf sebagai program rasmi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pertukaran budaya dan kreatif di rantau ini.

“Di bawah inisiatif Kita Bagi Jadi Komuniti, CIMB juga menyalurkan komitmen RM200 juta bagi tempoh lima tahun (2026-2030) untuk membantu komuniti kurang mendapat sokongan serta memastikan pertumbuhan inklusif.

“Dengan pengisian merangkumi seni, muzik dan program kemasyarakatan, Kita Bagi Jadi bukan sekadar kempen korporat, sebaliknya gerakan sosial yang menyemai inspirasi dan menyatukan masyarakat Malaysia,” katanya.