Asyraf Wajdi disahkan negatif Covid-19

Iklan
23

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki disahkan negatif Covid-19 selepas keputusan ujian saringan yang dilakukan kelmarin dimaklumkan pihak hospital pagi tadi.

Mengakui sedikit trauma selepas mendapati Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii yang turut serta bersamanya dalam program Wacana Sinar Harian pada 12 Mac lalu disahkan positif virus itu Selasa lalu, Asyraf menjelaskan bimbang kepada kesihatan individu di sekelilingnya jika beliau positif Covid-19.

Iklan
Iklan

"Saya tidak begitu bimbang dengan diri sendiri sebaliknya mereka yang telah bertemu dengan saya sepanjang enam hari (daripada 12 Mac hingga 17 Mac). Ini kerana saya telah bertemu dengan ramai orang termasuklah dengan pimpinan MCA, MIC, UMNO, Pemuda UMNO. Begitu juga dengan pimpinan tertinggi Pas pada mesyuarat Muafakat Nasional bagi tempoh itu.

"Sebab itu selepas mengetahui YB Kelvin positif Covid-19 saya bergegas ke hospital untuk membuat saringan dan selepas itu kuarantin di rumah. Alhamdulillah, saya negatif namun akan tetap mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Sebelum itu pagi tadi, Asyraf memuat naik hantaran di Facebooknya menyatakan tentang keputusan saringan Covid-19.

Beliau menjelaskan, menerima panggilan jam 1 pagi namun tidak sempat menjawabnya kerana telah tidur.

Iklan

"Bangun jam 5.30 pagi, menyedari ada panggilan tidak dijawab daripada hospital, terus sahaja saya telefon dan dimaklumkan keputusan ujian saringan," katanya.

Dalam pada itu beliau beliau turut mengambil kesempatan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah atas doa dan keprihatinan Seri Paduka terhadap beliau dan keluarga.

"Kepada semua rakan-rakan yang telah mendoakan kesejahteraan saya dan keluarga serta tidak ketinggalan kepada kakitangan Hospital KPJ Selangor yang bekerja tanpa mengira masa dalam menangani wabak Covid-19 ini.

"Teruskan berdoa, solat hajat dan bermunajat kepada ALLAH agar kita semua terpelihara daripada sebarang kemudaratan dan wabak ini," katanya.