Gabungan PN bersama 12 parti belum tentu mampu tadbir kerajaan – Rafizi
Iklan
Rafizi Ramli.
KUALA LUMPUR – Ujian sebenar gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama 12 parti pembangkang lain bukan sekadar menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya terletak pada kemampuan mereka mentadbir sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Iklan
Iklan
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, cabaran terbesar gabungan itu ialah untuk mencapai kata sepakat mengenai calon Perdana Menteri, pembahagian jawatan Kabinet serta pelantikan penting sekiranya berjaya membentuk kerajaan.
Beliau menegaskan, meskipun kelihatan sehaluan ketika ini, hakikatnya tidak banyak persamaan ideologi yang menyatukan perjuangan parti-parti terbabit.
Iklan
“Mereka pernah menyerang sesama sendiri sebelum akhirnya bersetuju untuk saling menunggang. Inilah realiti politik kita,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook pada Khamis.
Rafizi menambah, contoh paling jelas dapat dilihat melalui hubungan politik antara Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pas yang sering berubah-ubah.
Iklan
“Mereka berkawan, kemudian berlawan sehingga Dr Mahathir menubuhkan parti sendiri.
"Selepas itu berlawan lagi sebelum kembali berkawan. Muhyiddin sendiri pernah menggelar Pas sebagai parti ajaran sesat. Pas pula pernah memaki Dr Mahathir kerana dituduh menzalimi rakyat Kelantan,” ujarnya.
Malah katanya, Pas sebelum ini menjadikan tokoh seperti Waytha Moorthy sebagai musuh utama dengan memainkan isu perkauman ketika bantahan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), namun kini berada sebaris demi kepentingan politik.
Jelas beliau, sejarah menunjukkan kerajaan yang terbentuk daripada gabungan parti berbeza haluan sering gagal memperkenalkan dasar baharu untuk rakyat.
“Setiap cadangan akan dibantah oleh parti lain. Akhirnya kerajaan hanya meneruskan bisnes seperti biasa, asalkan pemimpin parti gabungan mendapat habuan masing-masing,” katanya.
Rafizi turut mengingatkan bahawa perkembangan penggabungan parti-parti pembangkang bukanlah sesuatu yang janggal dalam landskap politik negara.
Katanya, ketika menjadi pembangkang, Pakatan Harapan (PH) juga pernah mengambil pendekatan sama dengan tujuan mengumpul kekuatan menghadapi Barisan Nasional (BN).
“Minggu ini, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan PN bergabung dengan 12 parti politik lain untuk membentuk satu platform bersama. Ini bukan luar biasa.
"Ia respon biasa dalam sepak terajang politik yang lazimnya digunakan pihak pembangkang,” jelasnya.
Namun, kata Rafizi, persoalan besar yang perlu dijawab ialah sama ada gabungan itu mampu menggembeling sokongan rakyat untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.
Beliau berpendapat, perkara itu masih sukar ditentukan kerana sebahagian besar parti yang menyertai PN tidak pernah mempunyai pengaruh di peringkat nasional.
“Hanya Pas, Bersatu dan Gerakan yang ada rekod bertapak di peringkat negara. Parti lain tidak pernah pun menguasai politik nasional,” katanya.
Tambahnya lagi, hala tuju gabungan itu juga sangat bergantung kepada prestasi pentadbiran Kerajaan Madani serta populariti Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Jika beliau gagal menguruskan kontroversi yang timbul saban hari dan tiada perubahan ketara berlaku, jumlah pengundi yang mahu menukar kerajaan boleh mengatasi jumlah yang mahu mengekalkan kerajaan.
"Maka kerajaan boleh bertukar,” katanya.
Bagaimanapun, Rafizi menegaskan kemenangan pembangkang tidak semestinya menjamin kestabilan politik kerana gabungan parti berbeza ideologi mudah berpecah sebaik memegang kuasa.
“Resam politik negara kebelakangan ini menunjukkan mereka berkawan sementara, kemudian kembali bermusuhan.
"Jadi jangan anggap kesatuan hari ini sebagai jaminan masa depan,” katanya.
Perikatan Nasional (PN) menubuhkan pasukan perundangan bagi meneliti tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan itu, lapor wartawan Sinar Harian, Adila Sharinni Wahid.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pasukan berkenaan sedang meneliti tindakan yang sesuai dari sudut perundangan termasuk kemungkinan memohon injunksi atau pengisytiharan bahawa keputusan berkenaan tidak sah.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/797938/berita/politik/pn-tubuh-pasukan-perundangan-teliti-tindakan-ros
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.