Cadangan tubuh tribunal kes buli kanak-kanak akan dibawa ke Kabinet - PM

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini. Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Cadangan untuk menubuhkan tribunal berhubung kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa cadangan itu dalam mesyuarat Kabinet nanti.

Iklan
Iklan

"Kita akan bincang di Kabinet,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) Datuk Johan Mahmood Merican.

Iklan

Azalina sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal, bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.

Beliau berkata pada masa ini, tiada definisi khusus atau hukuman yang jelas berkaitan kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

Iklan

"Perkataan ‘buli’ tidak dinyatakan secara khusus dalam Kanun Keseksaan, tetapi saya agak lega apabila kita telah meminda dan memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan,” kata Azalina pada satu majlis semalam. - Bernama