SHAH ALAM - Bandar raya Shah Alam mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi pelancongan utama negara apabila merangkul lima anugerah berprestij pada Tourism Industry Awards 2025 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, baru-baru ini.
Menurut kenyataan Santai Travel Media, Shah Alam mencatatkan pencapaian cemerlang menerusi lima kategori utama, termasuk dua kategori oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) iaitu Best Community-Based Tourism Initiative dan Best Clean and Friendly City.
Iklan
Iklan
Tiga lagi anugerah dimenangi oleh Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi kategori Best Islamic Tourism Venue, Wet World Waterpark Shah Alam dalam kategori Best Community and Sustainable Family Park serta Jungle Gym bagi kategori Best Innovative Edutainment Playland.
“Pengiktirafan ini membuktikan pelancongan Shah Alam bukan hanya berteraskan destinasi semata-mata, sebaliknya turut menekankan pengalaman, nilai komuniti dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengunjung.
“Kejayaan tersebut akan terus mengangkat nama Shah Alam di peta pelancongan dunia sekali gus menarik lebih ramai pelancong antarabangsa serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Majlis anugerah tahunan berkenaan dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk tokoh industri pelancongan, penggiat sektor perhotelan, wakil kerajaan, pengusaha tarikan pelancongan serta media.
Selain mengiktiraf kecemerlangan pelbagai pihak, penganjuran anugerah itu juga bertujuan memperkasakan sektor pelancongan Malaysia.