SEPANG – Dua lelaki warga asing ditahan pihak berkuasa selepas mendapati cap keselamatan pada pasport mereka mencurigakan di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) pada Ahad.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dalam kenyataan berkata, dua lelaki warga India dan China berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan pada jam 5 petang ketika melalui pemeriksaan imigresen.
"Pegawai bertugas mengesyaki sesuatu selepas mendapati cap keselamatan pada pasport mereka mencurigakan.
"Semakan lanjut dalam Sistem MyIMMs mendapati tiada sebarang rekod pergerakan keluar atau masuk ditemui bagi kedua-dua individu tersebut," katanya.
Menurutnya, cap pada pasport mereka menunjukkan kemasukan dibuat melalui pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Kompleks ICQS Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang, Johor.
"Susulan penemuan itu, kedua-dua mereka ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen KLIA2 sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor untuk siasatan lanjut.
"AKPS KLIA sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dalang yang terlibat dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersekongkol.
AKPS menegaskan komitmen untuk membanteras kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan bagi menjamin integriti dan keselamatan pintu masuk negara.