112 poin pengecas EV beroperasi di Lebuhraya PLUS

Iklan
PLUS menyediakan 112 poin pengecas kenderaan EV termasuk di LPT2

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kini menyediakan sebanyak 112 poin pengecas kenderaan elektrik (EV) yang sudah beroperasi di lebuh raya kendaliannya termasuk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, jumlah itu telah melepasi sasaran awal syarikat untuk menyediakan 100 poin pengecas EV menjelang akhir 2025 apabila ia dicapai lebih awal setakat 30 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, poin pengecas tersebut ditempatkan secara strategik di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah serta stesen minyak terpilih di sepanjang Lebuhraya PLUS bagi memastikan pengguna EV mendapat akses lebih mudah.

“Usaha itu sejajar dengan Pelan Hala Tuju Hijau PLUS 2.0 selain menyumbang kepada pencapaian sasaran 1,000 poin pengecas pantas menjelang 2025 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (2021-2030).

Iklan

“Bagi menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan rendah karbon, sebahagian poin pengecas EV di lebuh raya ini turut dilengkapi bumbung panel solar dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, PLUS juga menyasarkan pembukaan Hab EV lebuh raya pertama di Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan) oleh Terra ChargEV, iaitu usaha sama antara anak syarikat PLUS, Terra PLUS Sdn Bhd dengan Green EV Charge yang dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2027.

Iklan

Selain itu, PLUS merancang melaksanakan projek perintis “Charge and Chill” di beberapa plaza tol terpilih menjelang 2025 yang menggabungkan fasiliti pengecasan EV dengan kemudahan makanan dan minuman (F&B) bagi memberi pengalaman lebih baik kepada pengguna sewaktu berhenti rehat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PLUS, Mohd Fauzi Puniran berkata, semua poin pengecas yang dipasang adalah jenis pantas arus terus (DCFC) dengan kuasa output antara 47 kW hingga 200 kW.

“Ia membolehkan kenderaan mencapai 80 peratus tahap pengecasan dalam tempoh 15 hingga 30 minit bergantung kepada spesifikasi kenderaan dan tahap bateri sedia ada. Semua poin menggunakan penyambung CCS2 universal yang serasi dengan kebanyakan jenama EV utama,” jelasnya.

Selain pengecas pantas, pengguna EV turut ditawarkan pelbagai kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti restoran, kedai serbaneka, surau, tandas serta ruang menunggu berbumbung ketika menanti proses pengecasan.

Kadar penggunaan purata bagi pengecas EV di Lebuhraya PLUS tahun ini juga menunjukkan pertumbuhan stabil dan dijangka terus meningkat seiring peningkatan pemilikan EV di Malaysia.

Lokasi dan ketersediaan masa nyata pengecas boleh diakses melalui aplikasi mudah alih PLUS serta aplikasi pihak pengendali seperti JomCharge, Gentari Go dan ChargEV App yang turut membolehkan pengguna membuat pembayaran serta memantau sesi pengecasan dengan lebih mudah.