Hampir 4,000 ikan asing dari Sungai Galah 'didaratkan'

Iklan
Spesies ikan bandaraya paling banyak didaratkan ketika Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 2 Perak 2025 pada Ahad.

PASIR SALAK – Hampir 4,000 ikan asing yang menjadi ancaman utama kepada biodiversiti Sungai Galah di sini berjaya didaratkan pada Ahad.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah itu membabitkan 954 kilogram spesies perosak seperti ikan bandaraya, baung ekor merah dan patin Chao Phraya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejayaan tersebut membuktikan kesungguhan pihaknya dalam membanteras spesies asing yang semakin menular di perairan negara.

Adnan melepaskan benih ikan temoleh, kerai dan udang galah ke Sungai Galah, Kampung Gajah, Pasir Salak.

Iklan

"Usaha membanteras spesies ikan asing perlu dilakukan secara berterusan melalui pendekatan holistik, bukan sahaja melalui aktiviti pemburuan tetapi sokongan komuniti setempat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan ikan asing itu adalah hasil pelaksanaan program Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 2 Perak 2025 disertai 53 peserta.

Iklan

Katanya, program berkenaan adalah kesinambungan siri pertama di Ipoh pada 12 hingga 13 Julai lalu yang merekodkan tangkapan 2.3 metrik tan atau 6,420 ikan bandaraya dan peacock bass.

Adnan (dua dari kanan) melihat bekalan benih ikan asli bernilai RM18,400 membabitkan spesies temoleh, kerai dan udang galah.

"Usaha ini bukan sekadar pertandingan tetapi mesej jelas kepada masyarakat mengenai bahaya spesies asing terhadap ekosistem sungai," katanya.

Adnan menambah, selain operasi pemburuan, pihaknya turut melepaskan benih ikan asli bernilai RM18,400 melibatkan spesies temoleh, kerai dan udang galah sebagai langkah konservasi untuk memulihkan stok ikan tempatan.

“Kombinasi pemburuan ikan asing dan pelepasan benih ikan asli bertujuan memastikan sungai terus menjadi habitat sihat serta menjamin kelestarian sumber perikanan negara untuk generasi akan datang," tegasnya.

Orang ramai melihat ikan asing yang memonopoli sungai tempatan.
Antara spesies ikan asing berjaya didaratkan dari Sungai Galah sempena program Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 2 Perak 2025 pada Ahad.
Adnan (dua dari kanan) memeriksa benih ikan asli bakal dilepaskan di Sungai Galah, Kampung Gajah, Pasir Salak.