KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin memerintahkan penyanyi rap, Caprice menyimpan 31 hantaran yang didakwa berunsur fitnah terhadap usahawan Muhammad Asyraf Khalid, dalam arkib Instagram miliknya.
Peguam, Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Asyraf, 33, berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan injunksi ‘ad-interim’ atau sementara yang dibuat anak tiri Biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Selepas prosiding di hadapan Hakim, Datuk Anand Ponnudurai, peguam itu berkata, semua penerbitan oleh Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39, selaku defendan perlu disimpan dengan segera.
“Mahkamah turut membenarkan injunksi ad-interim terhadap defendan sementara menunggu pelupusan permohonan injunksi inter-parte iaitu dua pihak.
“Permohonan berkenaan ditetapkan untuk pendengaran pada 2 September ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah, selepas prosiding pendengaran injunksi secara sebelah pihak iaitu ‘ex-parte’ yang dijalankan secara dalam kamar.
Pada 4 Ogos lalu, Asyraf selaku plaintif memfailkan saman fitnah terhadap defendan di Mahkamah Tinggi di sini, berhubung 31 terbitan yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah di platform Instagram.
Ia merujuk kepada video teaser atau pra-penyiaran yang akan diterbitkan plaintif menerusi poadcast atau audio siar.
Pada 6 Ogos lalu, dalam sidang media Asyraf berkata, pelbagai tuduhan dilemparkan terhadapnya apabila Caprice menyelar tindakannya menjemput seorang lelaki yang didakwa pernah mencederakan beberapa individu ke program audio siar.
Asyraf berkata, perkara itu mengundang kecaman orang ramai sehingga usahawan itu digelar perogol, pedofilia.
Ia menyebabkan serangan terhadap keluarganya sehingga mengganggu mental serta emosinya selain merosakkan reputasinya sebagai ahli perniagaan.