SUNGAI SIPUT - Anggota bomba terpaksa mendaki hampir satu jam ke puncak Bukit Berekeh, Kampung Bawong, di sini bagi mengawal kebakaran hutan yang memusnahkan kira-kira 4 hektar kawasan sejak Ahad.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, laluan berbukit menyebabkan operasi pemadaman dilakukan secara manual menggunakan lima unit pemerap api.
“Kebakaran berlaku secara bertompok-tompok di kawasan puncak bukit. Tiada mangsa terlibat dan operasi dijalankan dengan kekuatan anggota yang terpaksa mendaki dari kaki bukit ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Shazlean, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.02 petang dan api berjaya dikawal kira-kira jam 6.45 petang.
Katanya, operasi pemadaman diteruskan pada pagi ini melibatkan 25 anggota bomba dari beberapa balai berdekatan, selain lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), sembilan anggota Rela serta seorang anggota Bomba Komuniti.
“Antara aset yang digunakan termasuk sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), unit EMRS, lori Hicom, kenderaan komunikasi pacuan empat roda dan beberapa kenderaan utiliti lain.
“Pesawat AW189 dari Pengkalan Udara Subang turut berlepas ke lokasi pada jam 9.30 pagi bagi membantu operasi,” ujarnya.
Operasi pemadaman masih diteruskan dan dipantau rapi bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan berhampiran.