Enam kru termasuk tekong ditahan langgar syarat sah lesen

Iklan
Enam individu termasuk seorang tekong warga tempatan ditahan Maritim Malaysia Pahang selepas sebuah vesel nelayan tempatan disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan negeri ini. Foto: Maritim Pahang.

KUANTAN – Enam kru termasuk seorang tekong warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang selepas sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan negeri ini.

Penahanan itu dibuat dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Sabtu apabila pasukan bot ronda Maritim yang menjalankan rondaan Op Makmur dan Op Tiris mengesan sebuah vesel jenis fiber pukat hanyut dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 0.23 batu nautika dari timur Pantai Pontian.

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pemeriksaan lanjut mendapati enam individu berusia 21 hingga 37 tahun berada di atas vesel berkenaan.

"Hasil siasatan turut mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan tiga kesalahan iaitu pemilik tidak mengusahakan sendiri gagal memaklumkan pertukaran enjin vesel serta membawa kru melebihi jumlah yang dibenarkan dalam syarat sah lesen.

Iklan

"Kesemua kru bersama peralatan menangkap ikan serta hasil laut dianggarkan seberat lebih kurang 150 kilogram telah dirampas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hasil laut anggaran lebih kurang 150 kilogram telah dirampas susulan penahanan sebuah vesel nelayan tempatan disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan negeri ini. Foto: Maritim Pahang.

Iklan

Beliau menjelaskan, vesel tersebut diiringi masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.

Sehubungan itu, Mazlan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik vesel yang mengambil jalan mudah dengan melanggar undang-undang demi mengaut keuntungan peribadi tanpa memikirkan kesannya terhadap sumber perikanan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.