PENYANYI dan pelakon, Naim Daniel hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini bagi prosiding kedua berhubung pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, Mei lalu.
Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin dilihat hadir dengan wajah sugul dan tampak lebih susut berbanding penampilannya pada prosiding pertama sebelum ini.
Ketika ditemui media, artis berusia 27 tahun itu menjelaskan kehadirannya hari ini hanya bagi tujuan penyerahan dokumen dan menegaskan dirinya berada dalam keadaan baik.
“Saya datang untuk serah dokumen sahaja dulu dan alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Terima kasih semua. Alhamdulillah saya berada dalam keadaan baik,” katanya.
Berkongsi perkembangan dirinya, penyanyi lagu Seni Berdamai Dengan Takdir itu berkata, dia kini kembali sibuk dengan muzik dan dalam masa sama memberi ruang untuk fokus kepada diri sendiri.
“Saya tengah sibuk dengan muzik balik, menulis lagu juga. Selain itu saya fokus pada diri saya dahulu.
“Setakat ini alhamdulillah, sama ada dengan atau tanpa perkara ini (kes mahkamah), itu (menulis lagu) tetap kerja Naim.
“Jadi saya lakukan seperti biasa. Harap semua dapat bersabar untuk menunggu perkembangan seterusnya,” ujarnya.
Dalam prosiding terdahulu, pelatun lagu Sumpah itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin M Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tujuh bulan, di sebuah hotel pada jam 8.56 malam, 19 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, mahkamah sebelum ini membenarkan Naim diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, bersama syarat tambahan menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Kes berkenaan ditetapkan semula untuk sebutan pengurusan pada 19 September depan.