GERIK - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak berjaya memindahkan seekor anak gajah bersama ibunya di Tanjung Rimbun, Bandariang di sini pada Ahad.
Operasi translokasi bermula jam 8 pagi itu turut memindahkan seekor lagi gajah jantan dianggarkan berusia 18 tahun dengan berat 1.8 tan.
Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff berkata, ketiga-tiga gajah terbabit ditangkap pada 8 Ogos lalu selepas menerima aduan kerosakan tanaman penduduk.
"Kumpulan mamalia ini dikesan mula masuk ke kebun dan merosakkan tanaman pisang dan ubi selain menimbulkan ketakutan dalam kalangan penoreh getah.
"Menerusi kawalan yang dijalankan, kita berjaya tangkap ibu gajah berusia 18 tahun dengan berat dua tan yang diberi nama Yong Tanjung dan anaknya, Yop Adik berusia empat tahun seberat 700 kilogram serta gajah jantan dewasa, Yop Rimbun," katanya.
Yusoff berkata, operasi selama enam jam melibatkan 27 kakitangan Perhilitan Perak, Terengganu dan Johor itu telah dilaksanakan dengan lancar dan selamat.
"Khidmat dua gajah denak iaitu Suria dan Indah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Sungai Deka, Terengganu turut membantu memujuk gajah liar terbabit untuk dipindahkan.
"Gajah tersebut dipercayai tersesat dari hutan simpan berhampiran akan dilepaskan ke habitat bersesuaian," katanya.