Felcra umum agihan keuntungan RM101 juta kepada 74,300 peserta

Iklan
Ahmad Zahid ketika berucap dalam Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 di Pusat Benih Padi, Felcra Plantation Sdn Bhd, Pasir Salak pada Ahad. Foto Felcra Berhad

PASIR SALAK – Felcra Berhad mengumumkan agihan keuntungan boleh agih interim berjumlah RM101 juta bagi tahun 2025 yang bakal memberi manfaat kepada 74,300 pesertanya di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, agihan itu melibatkan 646 projek yang mencatatkan keuntungan dan pembayaran akan dilakukan secara berperingkat bermula pada Ahad.

Iklan
Iklan

"Prestasi keseluruhan projek penyatuan dan pemulihan Felcra hingga April 2025 berjumlah RM178 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak RM101 juta diagihkan sebagai keuntungan interim pertama tahun ini.

"Ini merupakan peningkatan hampir RM2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu dan saya ucapkan syabas kepada Felcra kerana berjaya mengekalkan prestasi yang baik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 di Pusat Benih Padi, Felcra Plantation Sdn Bhd di sini pada Ahad.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Idris Lasim.

Peningkatan keuntungan tersebut dipacu oleh lonjakan 81 peratus keuntungan bersih projek kelapa sawit, kenaikan harga purata minyak sawit mentah kepada RM4,423.83 per metrik tan serta kecekapan operasi yang berjaya mengurangkan kos sebanyak 15 peratus.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap pengagihan itu bukan sahaja menjadi suntikan kewangan kepada peserta, sebaliknya turut menjadi dorongan untuk mereka memajukan projek masing-masing.

"Jadikan keuntungan ini sebagai modal untuk meningkatkan produktiviti, mengguna pakai teknologi baharu serta memperkukuh daya saing agar Felcra terus menjadi tonggak pembangunan ekonomi luar bandar," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pengkomersialan Padi Felcra MRQ 107, varieti padi wangi tempatan yang diperkenalkan sebagai alternatif beras import.

Katanya, varieti baharu itu memiliki aroma wangi semula jadi dengan tekstur nasi yang lembut dan enak, selain menyokong dasar sekuriti makanan negara.

"Felcra perlu memastikan pengeluaran varieti ini mencecah 3,000 metrik tan tahun ini dan digandakan kepada 6,000 metrik tan pada masa akan datang.

"Janganlah usaha ini hanya sekadar meletakkan jenama di atas beg, sebaliknya mesti setanding dengan jenama lain di pasaran," katanya.