SEREMBAN - Disebabkan kasihnya terhadap kucing, sepasang suami isteri ini sanggup menyewa dua buah rumah bagi menempatkan lebih 300 ekor haiwan tersebut yang dikutip dan diselamatkan sejak lapan tahun lalu.
Malah, setiap bulan, Ernani Khamis, 40, dan Nor Izwan Asli, 42, memperuntukkan lebih RM10,000 hanya untuk kos penjagaan, rawatan serta gaji pekerja.
Menurut Ernani, mereka menyewa sebuah rumah di Mahkota Hills, Lenggeng dan sebuah lagi di Cheras, Selangor dengan sewa keseluruhan sebanyak RM5,000 sebulan.
"Pemilik rumah tahu bahawa kami menyewa untuk dijadikan rumah kucing, dengan syarat ia dijaga dengan baik.
"Setiap rumah turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), dan pekerja juga tinggal di rumah sama bagi memudahkan pengurusan," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, 90 peratus daripada kucing yang dipelihara merupakan baka kampung dan kesemuanya telah dimandulkan secara berperingkat.
Jelasnya, mereka menggunakan dana sendiri untuk menguruskan haiwan berkenaan hasil daripada perkhidmatan mandian dan dandanan kucing serta hotel kucing yang disediakan.
"Selain itu, kami mencari duit tambahan dengan menyertai pelbagai pertandingan kucing yang diadakan di serata negeri dan, Alhamdulillah, setakat ini kami tidak pernah pulang dengan tangan kosong.
"Dari situlah kami memperoleh tajaan makanan atau pasir kucing yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos perbelanjaan bulanan," katanya.
Selain itu, bagi menjimatkan kos, mereka juga mempelajari kaedah rawatan asas kucing melalui YouTube dan doktor haiwan.
Ernani mengakui bahawa kos yang terpaksa ditanggung setiap bulan agak tinggi, namun bersyukur kerana sentiasa dipermudahkan.
"Alhamdulillah, setakat ini ada sahaja rezeki buat kami dan disebabkan itulah kami tidak pernah putus asa untuk terus menjaga kucing-kucing ini semua.
"Di rumah kami sendiri di Putrajaya pun ada 50 ekor kucing yang khas untuk dibawa menyertai pertandingan atau pertunjukan kucing," katanya.
Kata Ernani lagi, mereka turut membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mengambil kucing-kucing tersebut sebagai haiwan peliharaan dengan bayaran antara RM200 hingga RM250 seekor.
Tambahnya, bagi memudahkan urusan membawa pulang haiwan tersebut, setiap 'keluarga angkat' akan diberikan beg serta makanan kucing.
"Kebanyakan yang datang mengambil anak kucing dan jika bernasib baik, boleh dapat baka Maine Coon dan British Shorthair," katanya.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi perancangannya untuk membangunkan sebuah taman kucing di atas tanah miliknya seluas setengah ekar di Ipoh, Perak.
Jika semuanya berjalan lancar, ujarnya, taman tersebut akan mula beroperasi tahun ini.
"Saya dan suami memang meminati kucing sejak kecil dan saya akan rasa bersalah jika tidak membawa pulang kucing jalanan yang dijumpai di mana-mana, terutama yang sakit dan masih kecil.
"Kucing-kucing ini kami sudah anggap seperti 'anak', malah saya dan suami membahasakan diri sebagai mama dan papa," katanya yang masih belum dikurniakan zuriat.